Bukit Antarabangsa: Bukan Mangsa Tapi Bangkai Anjing





KUALA LUMPUR, 9 Dis (Hrkh) - Bau yang dikatakan mayat sudah reput sebenarnya bukan mangsa kelima yang dikesan, tetapi bangkai anjing, kata Ketua Polis Selangor, Dato' Khalid Abu Bakar sebentar tadi.

Sejam lalu polis mengumumkan ada menemui satu lagi mayat di lokasi tragedi tanah runtuh Bukit Antarabangsa dekat sini petang ini - pada hari keempat operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

Pun begitu, pada sidang media sebentar tadi, beliau berkata: "pegawai telah berjaya sampai ke bilik pembantu rumah, ruang tidur dan seluruh bahagian dapur, namun hanya menemui bangkai anjing."

Justeru, kata beliau, seorang lagi mangsa yang dilaporkan hilang juga belum ditemui.
Wanita tersebut yang dipercayai bernama Lourdes Mary, 30an, merupakan pembantu rumah kepada doktor haiwan Dr. N. Yogeswari, yang turut terkorban dalam tanah runtuh tersebut Sabtu lalu.

Setakat ini, mereka yang terkorban dalam insiden tanah runtuh yang menimbuskan 14 banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama awal Sabtu lepas kekal empat orang iaitu Yogeswari, 40, akauntan Eng Yee Peng, 30, Shaiful Khas Datuk Shahrudin, 20, dan warga Indonesia Surinah, 30an.

Kata beliau, operasi SAR yang dihentikan sementara pada pukul 7.30 petang dan akan diteruskan macam biasa meliputi kawasan yang lebih luas.

"Hari pun dah malam, jadi lebih baik kita berhenti dulu dan sambung balik esok pagi dengan memberi tumpuan ke atas kawasan yang lebih luas," katanya.

Tambah beliau, sehingga kini tidak ada laporan tambahan orang hilang diterima.

Malah katanya, laporan Ikram dan Jabatan Kerja Raya menunjukkan tiada pergerakan tanah lagi.

Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Peringkat Negeri akan diadakan pagi esok.


Azmin pantau sendiri perkembangan

Sementara itu, Adun Bukit Antarabangsa, Mohd Azmin Ali, yang ditemui di pusat khidmatnya, berkata pihaknya sentiasa memantau setiap perkembangan sepanjang operasi mencari dan menyelamat berjalan.

"Saya sudah berada di sini sejak hari pertama kejadian. Dan saya akan terus berada di sini untuk memantau sendiri perkembangan operasi ini sehingga ia berakhir," tegas beliau.

Unit Amal PAS turut menabur khidmat

Sementara itu, Unit Amal PAS turut bersama dalam operasi ini dengan pelbagai peranan mengikut keadaan tertentu kejadian tersebut.

Menurut Ketua Bilik Gerakan Unit Amal, Nik Rasydi Nik Yusoff, tugas khas Unit Amal adalah menyediakan makanan kepada para petugas media, petugas penyelamat dan mangsa.

Bagaimanapun, mereka turut berpeluang dalam operasi mencari dan menyelamatkan mangsa pada hari pertama kejadian tanah runtuh berkenaan.

Selain itu, mereka turut membantu memberikan perkhidmatan kepada para penduduk untuk mengangkut barangan bagi tujuan pemindahan.

Hampir 100 petugas Unit Amal dari Selangor dan Wilayah Persekutuan menjalankan kerja-kerja sukarela sejak hari pertama kejadian.

Sementara itu, beberapa pimpinan PAS turut membuat lawatan ke lokasi kejadian sejak hari pertama, iaitu Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli, AJK PAS Pusat, Dr Lo' Lo' Ghazali, Ketua Penerangan Muslimat Pusat, Athirah Aiman al-Jundi, Exco kerajaan negeri Selangor, Dato' Hassan Mohd Ali, Dr Halimah, Iskandar Abdul Samad; Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Salehin Mukhyi dan Ketua Amal Malaysia, Ustaz Jamsari Marsom. - mks

0 comments:

Post a Comment