Muslimat Ampang rayu bantuan tenaga segera

AMPANG, 11 Mac: Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Ampang, Rohaina Ahmad merayu kepada seluruh Ketua-ketua Muslimat, Pemuda, Ulama, Unit Amal, Nisa', Briged Amal mengarahkan ahli mereka menghulurkan bantuan tenaga segera bagi membantu membersihkan rumah mangsa banjir di Lembah Jaya Utara.
Beliau berkata, bantuan tenaga amat diperlukan memandangkan semua rumah di Kampung Seputeh, Lembah Jaya Utara penuh lumpur yang perlu dibersihkan segera sebelum lumpur tersebut kering.

"Kami juga memohon dan merayu sangat tenaga Nisa' dan Muslimat Kawasan-kawasan datang untuk membantu membasuh pinggan mangkuk di rumah-rumah mangsa," katanya.

Paling penting, tambahnya Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) mesti memberi bantuan air tanpa putus dan disemua lorong, bukan meletakkan air di hadapan lorong sahaja.


Katanya, lumpur dan pinggan mangkuk yang penuh berlumpur perlu dibersihkan segera jika tiada air apa yang boleh dilakukan oleh mangsa banjir dan tenaga sukarelawan yang hendak membantu.

Menurut beliau, ada mangsa banjir yang berusaha mendapatkan air daripada bukit dengan menggunakan baldi dan tong.



"Saya juga mohon bantuan segera dan setiap masa MPAJ seperti jengkaut, lori dan apa sahaja untuk mengangkut sampah-sampah dan perabot yang telah rosak," katanya.

Beliau bersama ahli muslimat, PAS Kawasan dan jentera Pusat Khidmat Masyarakat bekerja 24 jam dan hanya tidur tidak lebih dua jam di penempatan mangsa banjir di Desa Permai, Lembah Jaya Utara.

Katanya, Muslimat Ampang mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Selangor, Maryam Abd Rashid bersama AJKnya dan exco Selangor, YB Rodziah Ismail yang turun segera pusat Penempatan Sementara.

Beliau turut mengucapkan terima kasih di atas sumbangan wang, pakaian dan makanan daripada Lajnah Kebajikan PAS Pusat; Adun Hulu Kelang, YB Shari Sungib menghantar muslimat memberi barang dan duit.

"Bantuan diterima daripada Islamic Relief Malaysia iaitu nasi 500 bungkus setiap malam; Ikram bantuan tenaga; unit Amal dari Kota Raja; Kelana Jaya; Pandan dan Ampang serta Lajnah Pemerkasaan Parti yang memberi sumbangan duit," katanya.

Bantuan segera terutama daripada tenaga amat diperlukan dan hubungi Hajah Rohaina 013-3407441.

0 comments:

Post a Comment