Seluruh Unit Amal Malaysia Bantu Mangsa Ribut Di Klang

Petikan dari Akhbar Sinar


KLANG - Prihatin dengan lebih 1,000 keluarga yang kediaman mereka terjejas teruk akibat ribut yang melanda beberapa kawasan di Sungai Udang dan Rantau Panjang di sini awal bulan lalu, mengundang sukarelawan untuk datang membantu meringankan beban keluarga yang kehidupan mereka terjejas teruk akibat bencana tersebut.Walaupun mendapat bantuan dari pelbagai pihak yang bersimpati dengan nasib mereka namun itu tidak memudahkan mereka untuk mengembalikan semula ke kehidupan biasa kerana kebanyakan rumah mangsa rosak teruk dalam jangka masa yang singkat.

Prihatin dengan nasib mangsa, pihak Unit Amal Malaysia dari seluruh negara telah mengambil inisiatif untuk bergegas ke kawasan yang menerima kesan paling serius pada kejadian ribut itu untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan beban para mangsa yang kebanyakan me­reka tiada tempat berteduh setelah kediaman mereka rosak dan tidak boleh diduduki untuk sementara waktu.

Menurut Yang Di Pertua Pas Bahagian Kapar, Dr Abdul Rani Osman (gambar) pada lawatan beliau ke kawasan-kawasan yang dilanda ribut Ahad lalu, beliau amat bersyukur kerana pada ke­jadian itu tiada kemalangan jiwa atau kecederaan menimpa penduduk di kawasan yang dilanda ribut berkenaan.

"Sebaik sahaja kejadian itu dimaklumkan," kita telah meminta bantuan dari pihak Unit Amal Malaysia untuk mem­bantu kita menjalankan kerja-kerja bantuan terhadap semua mangsa ribut di dua kawasan yang paling serius berkenaan terutamanya di kawasan Sungai Udang.

"Lebih 30 ahli Unit Amal Malaysia dari Negeri Melaka, Perak, Kelantan, Wilayah Persekutuan, Johor, Kedah, Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor telah bergegas turun ke kawasan yang ditimpa bencana bagi memberi bantu­an yang sepatutnya kepada mangsa," katanya.

Menurutnya lagi, oleh ke­rana banyak rumah mangsa yang rosak dan terjejas teruk akibat ribut itu maka para ahli Unit Amal yang bertugas te­lah bertungkus lumus untuk menguruskan dan membaik pulih bahagian-bahagian ke­diaman yang rosak

"Kebanyakan rumah di kawasan ini kehilangan bumbung oleh itu kerosakan ter­sebut mesti dibaiki secepat mungkin kerana keadaan cuaca yang kerap hujan sekarang ini kita tidak mahu kerosakan yang lebih serius berlaku.

"Adalah amat penting kita membaiki bumbung yang ro­sak tersebut agar keluarga yang terlibat dalam ribut tersebut dapat pulang dan mendiami se­mula kediaman masing-masing secepat yang mungkin," kata beliau.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru menambah, walaupun dalam keadaan berpuasa, ahli sukarelawan Amal Malaysia yang bertugas tetap gigih menjalankan kerja-kerja memindahkan barang-barang, membersihkan longkang dan kawasan serta memperbaiki bumbung rumah yang rosak.

"Kita amat memuji semangat jihad yang ditunjukkan oleh ahli-ahli Unit Amal dan kita berharap segala usaha mereka dapat dimanfaatkan untuk membantu mangsa ribut tersebut dan dilakukan de­ngan ikhlas sebagai tanda prihatin dan simpati dari suka­relawan yang dilahirkan oleh Dewan Pemuda Pas ini," ujar beliau lagi.

0 comments:

Post a Comment